Tuesday, October 26, 2010
JAUHI MAKSIAT ZAHIR
IMAM GHAZALI rahimahullah berkata bahawasanya agama itu terbahagi kepada dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh.
Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itulah Nabi SAW bersabda, “Orang yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya.”
Individu yang berbuat maksiat adalah mereka yang mengkhianati Allah dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana anggota tubuh badan adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya.
Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan maksiat, ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah.
Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana neraka Jahannam itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.
Mata yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis remaja dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan yang menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.
Telinga yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar segala perkataan bid’ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga mendengar perkataan yang batil dan sia-sia.
Lidah diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia digunakan mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diseleweng dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda, mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor. Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat munafik.” Tetapi dalam keadaan tertentu kita harus berdusta, misalnya untuk mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri yang bergaduh, yang mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali dengan berdusta. Begitu juga dengan mengumpat. Mengumpat dibenarkan jika membawa maslahah (kebaikan) yang meliputi pada enam keadaan :-
Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau mendedahkan kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.
Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat tersebut.
Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hak dan keadilan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment